PERTANDINGAN INOVASI MALA 3.0 PIALA YB MENTERI KPKT 2024-2025
25 April 2025, Jumaat – Pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala YB Menteri KPKT bagi tahun 2024-2025 anjuran Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) telah menutup tirainya pada edisi kali ini di Majlis Makan Malam Aidilfitri MALA 2025 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala YB Menteri KPKT 2024-2025 yang telah diadakan di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor.
Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama beberapa wakil daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai Biro Inovasi & Transformasi MALA di bawah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya selaku pengerusinya telah menyelaras pertandingan ini yang telah bermula sejak tahun yang lalu. Pertandingan ini telah mendapat kira-kira 67 penyertaan kumpulan inovasi daripada PBT seluruh Malaysia.
67 kumpulan inovasi ini telah berentap di peringkat saringan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong pada November tahun yang lalu. Di peringkat akhir, hanya 30 kumpulan inovasi yang telah terpilih bertanding di peringkat akhir yang berlangsung pada 24-25 April 2025 bertempat di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Majlis Bandaraya Ipoh telah dinobatkan sebagai Juara pertandingan pada edisi kali ini diikuti Majlis Bandaraya Pulau Pinang di tempat kedua dan Perbadanan Putrajaya di tempat yang ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa Geran Projek BP1 KPKT, Piala Pusingan, Piala Iringan, Wang Tunai dan Sijil Penyertaan.
Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Presiden MALA merangkap Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, YBhg. Dato’ Hj Abd Hamid Hussain diiringi Datuk Bandar MBJB, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad; Pengerusi Biro Inovasi & Transformasi MALA merangkap Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya dan Pengerusi Biro Ekonomi Mala merangkap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, YH. Dato’ Rose Samsul bin Abdul Razak.
Pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala YB Menteri KPKT ini telah menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM3.04 juta Geran Projek BP1 KPKT, wang tunai serta piala pusingan dan piala iringan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'