LEBIH 10,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN MAJLIS JAMUAN RAYA AIDILFITRI 1446H/2025M BANDAR RAYA ALOQ SETAQ BERAYA SAKAN
28 April 2025, Isnin – Lebih 10,000 warga Bandar Raya Alor Setar dan Pokok Sena dari pelbagai lapisan masyarakat hadir membanjiri Dataran Starwalk, Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar sempena Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 1446H/2025M “Bandar Raya Aloq Setaq Beraya Sakan”, malam tadi.
Majlis anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu meriah dengan menyediakan kira-kira 60 gerai makanan dengan 27 menu hidangan disajikan buat para pengunjung antaranya ialah Nasi Kandar, Laksa, Sate, Soto, Lemang, Ketupat, Rendang, Ais Kacang, Teh Tarik, Kambing Golek dan lain-lain lagi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md. Nor. Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB Dato’ Wira Haji Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin; Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Yang Berhormat Tuan Saifulrijal bin Azhari; Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya serta Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil bin Noh.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, tarian tradisional dari dalam dan luar negara, peragaan pakaian antarabangsa oleh pelajar Al-Bukhary International University serta tembakan bunga api. Selain itu juga turut diadakan pertandingan gerai tercantik di majlis tersebut.
Pihak MBAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak penaja dalam menghulurkan sumbangan serta sokongan padu dalam menjayakan majlis Jamuan Raya Aidilfitri 1446H/2025M Bandar Raya Aloq Setaq “Beraya Sakan”.
Sumbangan yang diberikan bukan sahaja mencerminkan komitmen tinggi terhadap semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat, malah memperkukuhkan hubungan strategik bersama Majlis Bandaraya Alor Setar. Semoga kerjasama erat ini terus diperkasakan demi kesejahteraan dan kemajuan Bandar Raya Alor Setar.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'