


29 April 2025 – PBT TPHTK : Sesi latihan penggunaan alat Defribrilator Luaran Automatik (AED) kepada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) dilaksanakan di Pejabat PBT TPHTK, di sini, hari ini.
AED adalah peranti perubatan mudah alih yang canggih serta mesra pengguna yang direka khas untuk membantu menyelamatkan nyawa individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba (sudden cardiac arrest).
Alat ini boleh menganalisa irama jantung (rithm) dan jika perlu, memberikan kejutan elektrik (defibrilasi) dan menganalisa tahap tekanan resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang diberikan oleh penyelamat kepada pesakit.
AED milik PBT TPHTK dilengkapi dengan panduan suara, lampu dan arahan teks untuk membimbing penyelamat melalui langkah-langkah yang diperlukan. Alat yang mesra pengguna ini juga mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja yang mungkin sedang berhadapan dengan mangsa serangan jantung.
Yang Dipertua, Yang Berbahagia Puan Sunita binti Abdul Aziz, turut bersama-sama mempelajari kaedah penggunaan alat AED ini dan kaedah CPR yang betul dan berkesan.
Dengan adanya AED, ia dapat membantu penyelamat memulihkan degupan jantung normal pesakit sebelum ambulans atau bantuan paramedik tiba, terutamanya dalam tempoh tiga hingga lima minit pertama yang sangat kritikal. AED dapat meningkatkan peluang hidup mangsa hampir dua kali ganda berbanding jika hanya menunggu bantuan paramedik tiba.