PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA | PENJAJA JALAN SULTANAH SAMBUNGAN TELAH MULA BEROPERASI DI TAPAK BAHARU HARI INI

5 Mei 2025, Isnin – Para penjaja Jalan Sultanah Sambungan telah memulakan perniagaan mereka di tapak baharu, hari ini bagi memberi ruang kepada kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di sepanjang jalan tersebut.

Sebanyak 4 lokasi tapak baharu yang telah disediakan oleh pihak MBAS iaitu di bersebelahan TSB Taman Wira Mergong (24 tapak), bersebelahan Medan Selera Taman Wira Mergong (29 tapak), Blok A, Taman Wira Mergong (28 tapak) dan berhadapan Medan Selera Suka Menanti bagi penjaja buah-buahan (4 tapak). Kesemua tapak ini terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi (7.00 pagi – 12.00 tengahari) dan sesi petang (3.00 petang – 8.00 malam) kecuali tapak berhadapan Medan Selera Suka Menanti bagi penjaja buah-buahan yang beroperasi dengan satu sesi iaitu dari jam 9:00 pagi sehingga 12:00 malam.

Di hari pertama pengoperasian tapak baharu ini, pihak MBAS turut bersama-sama para penjaja bagi memastikan setiap penjaja berada dalam kedudukan yang teratur mengikut no. tapak yang telah diberi hasil cabutan undi yang telah dijalankan baru-baru ini. Selain itu, pihak MBAS turut memberikan pengecualian bayaran Lesen Sementara + permit Khemah sehingga 4 Januari 2026 kepada semua penjaja tersebut.

Pihak MBAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi penyusunan semula penjaja ini.

Orang ramai yang ingin mencari juadah makanan boleh hadir di tapak-tapak baharu penjaja ini. Pelbagai pilihan hidangan menarik boleh didapatkan di sini dengan suasana yang lebih teratur dan selesa.

Untuk sebarang urusan dan pertanyaan mengenai tapak yang masih kosong di lokasi-lokasi ini boleh hubungi Bhg. Pengurusan Pasar dan Penjaja, MBAS di talian 04-7308751.

 
Skip to content