PERJUMPAAN MBAS BERSAMA SYARIKAT SWASTA | PERBINCANGAN MENGENAI CADANGAN PEMBANGUNAN "ALOR SETAR RIVER CRUISE" DI SUNGAI KEDAH SEBAGAI SATU TARIKAN PELANCONGAN DI BANDAR RAYA ALOR SETAR
7 Mei 2025, Rabu – Satu perjumpaan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama syarikat swasta iaitu Goto PaperPlane Design telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Aula, Ibu Pejabat MBAS sebentar tadi.
Ia dihadiri oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya; Ketua Bahagian Pengurusan Harta MBAS, PMgr. Sr. Zamzama bin Mohd; Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS, Pn. Nor Shakila Che Ali; Ketua Bahagian Pelesenan MBAS, Pn. Narisa bt Mohd Hashim serta wakil-wakil syarikat Goto PaperPlane Design.
Perjumpaan tersebut diadakan bagi membincangkan cadangan pembangunan “Alor Setar River Cruise” di Sungai Kedah sebagai satu tarikan pelancongan di bandar raya Alor Setar. Berdasarkan cadangan yang dikemukakan, lokasi jeti bagi “Alor Setar River Cruise” ini melibatkan dua laluan di Sungai Kedah iaitu laluan sungai di kawasan Pekan Cina, Persisiran Tanjung Chali dan laluan sungai berhampiran Muzium Negeri Kedah.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan Mai Singgah Alor Setar Lagi dan Tahun Melawat Kedah 2025 sekaligus memperkenalkan wajah baharu bandar raya Alor Setar melalui projek pelancongan air yang unik dan beridentitikan tempatan.