TAHAP KEBERSIHAN TAPAK PENJAJA MAKANAN KG BERJAYA, ALOR SETAR KURANG MEMUASKAN
30 Mei 2025, Sabtu – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Pasar dan Penjaja telah melaksanakan operasi pemeriksaan syarat lesen dan kebersihan di tapak penjaja Kampung Berjaya, Alor Setar baru-baru ini sebagai usaha memastikan kawasan tersebut sentiasa terjaga untuk para pengunjung. Namun, hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan di tapak penjaja makanan di kawasan tersebut berada dalam tahap yang kurang memuaskan.
Hasil pemeriksaan telah menemui pembuangan sisa makanan oleh segelintir penjaja ke dalam longkang, yang boleh mengakibatkan parit tersumbat serta menjejaskan sistem saliran kawasan berkenaan. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu kelancaran sistem perparitan sekitar kawasan tersebut tetapi juga menimbulkan risiko kesihatan awam.
Pihak MBAS ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap penjaja yang gagal mematuhi peraturan kebersihan yang telah ditetapkan. Pihak MBAS juga tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan penutupan sementara tapak penjaja tersebut sekiranya penjaja masih gagal memperbaiki tahap kebersihan di tapak berkenaan.
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua penjaja dan peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'