JELAJAH DATUK BANDAR ALOR SETAR MENAIKI BAS.MY ALOR SETAR

3 Jun 2025, Selasa – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya telah menyertai Program Jelajah Alor Setar dengan menggunakan perkhidmatan bas ikonik berwarna merah jambu iaitu BAS.MY Alor Setar. Program jelajah ini bertujuan untuk melihat perjalanan bas henti-henti sekitar bandar raya Alor Setar serta menilai keadaan perkhidmatan pengangkutan awam dan mengenal pasti langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kelancaran dan keberkesanannya di bandar raya Alor Setar.

 

Menurut Pegawai Operasi syarikat pengendali bas tersebut, Pn. Suharti Idris berkata destinasi yang dilalui BAS.MY Alor Setar ini melibatkan 44 hentian yang melalui kawasan strategik dalam bandar raya Alor Setar dari Terminal Shahab Perdana, antaranya ialah Pejabat Daerah Kota Setar, Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kedah, Pantai Johor, Wisma Darul Aman, Stadium Darul Aman, UTC Kedah, KTM Alor Setar, Pekan Rabu, Aman Central, Lotus Mergong, dan beberapa lokasi tumpuan yang lain.

 

Tambah beliau lagi, bagi menambahbah baik sistem perkhidmatan bas tersebut, sebuah aplikasi bakal dibangunkan bagi memudahkan pengguna mengakses lokasi semasa perjalanan bas tersebut. Selain itu juga, perkhidmatan BAS.MY ini adalah percuma bagi warga emas, OKU dan pelajar. Kaedah pembayaran lain turut disediakan termasuk tunai, e-dompet dan kad bank bagi pengguna lain.

 

Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam di bandar raya ini. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan mobiliti kepada penduduk tempatan, malah turut memudahkan pelancong menikmati tarikan-tarikan utama Alor Setar secara dengan lebih sistematik, selesa dan mesra pengguna.
 
 
 
Skip to content