PENIAGA PASAR MALAM DIINGATKAN SUPAYA MENJAGA KEBERSIHAN

10 Jun 2025, Selasa – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ingin menegaskan kepada semua peniaga pasar malam supaya sentiasa menjaga kebersihan sepanjang tempoh operasi perniagaan. Hasil daripada pemantauan MBAS yang dilakukan baru-baru ini di Pasar Malam Tandop, Alor Setar mendapati rata-rata peniaga telah meninggalkan sejumlah besar sampah sarap selepas menjalankan perniagaan mereka.
 
Hal ini menunjukkan bahawa sebilangan besar peniaga di kawasan itu tidak mengambil berat tentang aspek kebersihan kawasan perniagaan mereka. Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan, peniaga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kawasan sekitar gerai mereka sentiasa bersih dan teratur. Pembuangan sampah sarap hendaklah dilakukan dengan betul, iaitu dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan, bukannya dibiarkan berselerakan di kawasan sekitar.
 
Sehubungan itu, pihak MBAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan kebersihan selepas tamat waktu perniagaan. Pihak MBAS memandang serius isu ini demi menjaga kebersihan dan keselamatan orang awam. Kerjasama dan keprihatinan dari semua pihak amatlah dihargai.
 
 
Skip to content