KEDAH BERSIH | PROGRAM GOTONG ROYONG MEGA ZON 6, TAMAN SRI INDAH, TAMAN SRI IMPIAN & KAWASAN PENJAJA, ALOR SETAR
21 Jun 2025, Sabtu – Program Gotong Royong anjuran Ahli Majlis MBAS diteruskan hari ini di Zon 6 melibatkan kawasan Taman Sri Indah, Taman Sri Impian & kawasan penjaja, Alor Setar. Program ini dilaksanakan melalui inisiatif Ahli Majlis MBAS merangkap Pegawai kawasan Zon 6, En. Shamsudin Ahmad, dengan bantuan Penolong Pegawai Kawasan Zon 6, En. Sabri Dzakaria.
Turut serta dalam program ini ialah Bahagian Perkhidmatan Bandar & Bahagian Landskap MBAS, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, RELA, E-Idaman Sdn. Bhd., KRT Taman Sri Indah, KRT Taman Sri Impian serta peniaga dan penduduk setempat.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran ADUN Suka Menanti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, YB. Dzowahir Bin Ab. Ghani serta Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuk mengumpul dan menjual barangan niaga lusuh kepada E-Idaman, mengorek longkang dan parit yang tersumbat untuk melancarkan aliran air, serta mengesan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mencegah denggi. Selain itu, pokok-pokok yang menghalang laluan dan berisiko kepada keselamatan awam turut dipangkas.
Program ini tidak hanya menunjukkan semangat kerjasama yang erat antara komuniti dan agensi-agensi yang terlibat, tetapi juga memberi impak positif dalam memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran sentiasa terjaga. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan terlibat dalam menjayakan program ini.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'