KAYUHAN ISUZU 15TH CYCLE FOR HEALTH "MAI SINGGAH ALOR SETAR" BAKAL MERANCAKKAN TAHUN MELAWAT KEDAH 2025
6 Julai 2025, Ahad – Program Kayuhan Isuzu 15th Cycle for Health “Mai Singgah Alor Setar” yang akan berlangsung pada 16 September 2025 sempena Hari Malaysia bakal merancakkan Tahun Melawat Kedah 2025. Program yang telah memasuki edisi ke-15 ini akan membawa peserta dengan kayuhan sejauh 60 kilometer di sekitar Alor Setar, mempromosikan gaya hidup sihat serta menyokong inisiatif pelancongan negeri Kedah.
EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, YB Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin berkata program kayuhan ini bukan sekadar menekankan aspek kesihatan dan gaya hidup sihat, tetapi juga membawa dimensi yang lebih besar, merangkumi perpaduan, promosi pelancongan, dan pemerkasaan ekonomi tempatan.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengalu-alukan program ini kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan pelancongan sukan dan kesihatan sebagai salah satu segmen penting dalam merancakkan industri pelancongan dalam negara. Selain itu, program ini turut memberi impak langsung kepada Kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang sedang berjalan. Kayuhan ini bukan sekadar acara berbasikal, tetapi juga satu bentuk promosi pelancongan yang aktif, yang memperkenalkan keunikan Alor Setar dan Negeri Kedah.”
“Para peserta bukan sahaja berpeluang merasai cabaran laluan kayuhan sejauh 60 km, malah mereka disajikan dengan pemandangan memukau seperti hamparan sawah padi, kawasan perkampungan tradisional, serta tempat-tempat ikonik di negeri kita. Pengalaman ini pastinya memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk menikmati keindahan dan keunikan negeri Kedah.”
“Dari sudut ekonomi, program ini memberi manfaat kepada pelbagai sektor, termasuk hotel, restoran, perkhidmatan teknikal, pengangkutan, peniaga kecil, dan pengusaha tempatan. Inilah elemen penting dalam ekonomi pelancongan yang menyumbang kepada pembangunan komuniti.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kayuhan Isuzu 15th Cycle for Health “Mai Singgah Alor Setar” 2025 yang diadakan petang tadi bertempat di pejabat Isuzu Indah Utara Alor Setar.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Pengarah Urusan Indah Utara Auto Sdn Bhd, En. Poh Seng Hooi; Ahli Majlis MBAS, Dato’ Ch’ng Boon Chye dan Puan Noor Azra Md Saleh; President LM Bikers, Mr Poh Cheng Hai; Pegawai-Pegawai MBAS, wakil MBAS Cycling team serta pegawai-pegawai terlibat.
Penyertaan Isuzu 15th Cycle for Health “Mai Singgah Alor Setar” masih dibuka sehingga 25 Ogos 2025.
Untuk pendaftaran secara walk-in boleh dibuat di lokasi berikut :
❶ ISUZU – Jalan Gangsa, Alor Setar
Google Map: https://goo.gl/maps/5FaTKVfivMS2USCo6
❷ BHP Pokok Sena
Google Map: https://maps.app.goo.gl/qDbZwZ7pEjVVeEkQA
❸Huat Motor – 255C, Jalan Putra, Bandar Alor Setar
Google Map: https://maps.app.goo.gl/5aJ5afKPD3qLLKBD9
.
**PENDAFTARAN ONLINE**
.
Hubungi kami untuk maklumat yang lanjut
✆ Pertanyaan:013-451 5555
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'












