MAI SINGGAH ALOR SETAR LAGI | KONVOI 35 BUAH FERRARI DAN 20 MOTOSIKAL HARLEY DAVIDSON SINGGAH DI DATARAN MEDAN BANDAR, ALOR SETAR

4 Julai 2025, Jumaat – Bandar raya Alor Setar meriah apabila menerima konvoi kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada 35 buah Ferrari dan 20 motosikal Harley Davidson yang singgah di Dataran Medan Bandar, pagi tadi. Konvoi kenderaan berprestasi tinggi ini dianjurkan oleh Ferrari Owner Club Malaysia (FOCM) dengan kerjasama Diem Cafe.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata perkembangan ini telah menunjukkan bahawa bandar raya Alor Setar kini semakin mendapat perhatian dengan menjadi lokasi persinggahan bagi konvoi-konvoi besar seperti ini selaras dengan kempen ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’.
 
“Saya berterima kasih kepada Ferrari Owner Club Malaysia (FOCM) atas kesudian untuk singgah di Alor Setar dan saya juga mengalu-alukan mana-mana kelab kenderaan, persatuan dan penganjur acara untuk memilih Alor Setar sebagai lokasi program.”
 
“Saya bagi pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan bagi sokongan penuh serta insentif. Pihak MBAS akan membantu menjadi penyelaras bersama lain-lain agensi dari segi keselamatan, kebersihan dan lain-lain lagi.”
 
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan acara ‘Flag Off’ konvoi berkenaan. Hadir sama di program tersebut ialah Pengurus Besar Kedah Tourism, En. Zaidy Omar dan Pemilik Diem Café yang merupakan penyelaras program ini, Datuk Rick Cheng Wooi Seong.
 
Tambah beliau lagi, sempena kempen ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi’ dan Tahun Melawat Kedah 2025, pelbagai program telah diatur sehingga penghujung tahun ini.
 
“Esok (Sabtu), Santai Anak Utara akan berlangsung di Stadium Darul Aman, dan hujung bulan ini akan ada Karnival Muzium yang akan berlangsung selama 4 hari menghimpunkan semua pegawai Muzium dari seluruh negara.”
 
“Pada bulan Oktober pula akan berlangsung Kanival Sains dan Matematik peringkat antarabangsa melibatkan pelajar-pelajar daripada 25 buah negara. Banyak program yang telah disusun sepanjang tahun sehingga Disember 2025.”ujarnya.
 
Skip to content