PENGANJURAN CHALUNG HALAL FESTIVAL FOOD 2025, PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-THAILAND
28 Jun 2025, Satun, Thailand – Chalung Halal Festival Food 2025 yang diadakan pada 27-29 Jun 2025 di Satun, Thailand telah menarik ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, dengan menampilkan pelbagai jenis aneka makanan halal dari Thailand dan juga Malaysia. Festival ini menyaksikan penyertaan peniaga halal dari Malaysia dan Thailand, yang mempersembahkan pelbagai hidangan tradisional dan moden yang memenuhi piawaian halal.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata penganjuran program seperti ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
“ Sesungguhnya acara ini menjadi simbol ikatan erat antara dua buah negara jiran – Malaysia dan Thailand, khususnya antara wilayah Satun dan negeri Kedah. Hubungan baik ini telah lama terjalin dan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk dalam bidang pelancongan, ekonomi, kebudayaan dan sosial”.
“Festival makanan halal seperti ini bukan sahaja memperkenalkan pelbagai sajian autentik yang enak, bersih dan diyakini halal, tetapi juga menjadi platform terbaik mempromosikan keunikan budaya kedua-dua negara.”
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian festival makanan halal tersebut.
Hadir sama Tuan Gabenor Chalung, Ketua Pentadbiran Wilayah Satun, Yang Dipertua Daerah, Ahli-Ahli Majlis MBAS, pengarah-pengarah dan ketua-ketua bahagian MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan seluruh warga Thailand untuk berkunjung ke Kedah khususnya Alor Setar sempena ‘Mai Singgah Alor Setar Lagi dan Tahun Melawat Kedah 2025.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kedatangan warga Satun dan seluruh Thailand untuk berkunjung ke Alor Setar bagi menikmati keindahan bandar raya yang kaya dengan sejarah, budaya dan keindahan semula jadi”.
“Kami mempunyai pelbagai tarikan pelancongan menarik seperti Masjid Zahir, Muzium DiRaja Kedah, Balai Seni, Menara Alor Setar, Kampung Warisan, Gunung Keriang, dan Dataran Tanjung Chali, serta aktiviti membeli-belah, kulinari, dan festival kebudayaan sepanjang tahun” ujarnya.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'






