6-9 JULAI 2025

Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 2025 acara kemuncak yang amat dinanti nantikan oleh warga kerja PBT di seluruh negeri Jelapang Padi telah pun melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang. Tahun ini, Majlis Daerah Baling telah diberi kepercayaan dan berjaya menjadi tuan rumah yang amat cemerlang, mengendalikan kejohanan ini dengan lancar dan meriah dari 6 hingga 9 Julai 2025.

Sepanjang empat hari berlangsungnya acara ini ,seluruh PBT di Kedah termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Majlis Daerah Pendang, Majlis Daerah Yan, Majlis Daerah Sik, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Bandar Baharu, dan juga PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim telah menghantar delegasi terbaik mereka. Mereka semua bersaing dalam semangat kesukanan yang tinggi, mempamerkan bakat dan kemahiran dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.

Antara disiplin yang menjadi tumpuan dan mencetuskan sorakan paling gemuruh termasuklah boling, badminton, karom, bola sepak, petanque, esport,dart, bola jaring, dan sepak takraw. Kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menguji kehebatan sukan, tetapi turut memperkukuh jalinan persahabatan dan kerjasama antara PBT di Kedah. Kejayaan penganjuran oleh Majlis Daerah Baling ini pastinya meninggalkan impak positif dan kenangan manis kepada semua yang terlibat.

Majlis penutup yang dinanti-nantikan telah disempurnakan dengan kehadiran dan perasmian oleh Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor. Turut memeriahkan majlis adalah semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah, termasuk Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Bin Zahir, EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, dan Kesihatan Negeri Kedah. Kehadiran pemimpin-pemimpin negeri ini menyerlahkan lagi kepentingan dan kejayaan acara yang penuh bermakna ini.

Pada edisi kali ini, gelaran juara keseluruhan telah disandang oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), sekali gus menamatkan kejohanan dengan penuh kebanggaan. Tahniah dari kami, Warga Majlis Daerah Yan.

Skip to content