MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RUMAH FASA 7 DI MUTIARA BANDAR PUTERI JAYA

“Kediaman Selesa, Berdaya Huni dan Mampu Dimiliki”.

Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dengan kerjasama Pearl House Design telah menganjurkan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Fasa 7 bagi Pembangunan Rumah Teres Satu Setengah Tingkat di Mutiara Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor.

Majlis yang berlangsung di tapak projek Mutiara BPJ itu menyaksikan penyerahan simbolik kunci kepada pembeli rumah Fasa 7 yang terdiri daripada unit-unit kediaman yang boleh diduduki sepenuhnya dalam tempoh lima bulan lagi. Projek ini membuktikan komitmen tinggi pihak pemaju dalam menyediakan perumahan berkualiti yang selesa, berdaya huni dan mampu dimiliki oleh rakyat negeri ini.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi menzahirkan penghargaan atas usaha MPSPK dan pihak pemaju dalam menyediakan rumah mampu milik sekali gus menyumbang kepada sasaran kerajaan negeri dalam memperluas akses pemilikan rumah kepada golongan berpendapatan sederhana.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Kuala Muda, Encik Azmin bin Zainol Abidin, Yang Dipertua MPSPK Yang Mulia Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, diiringi Setiausaha MPSPK Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah-Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian serta kakitangan MPSPK yang turut memberikan sokongan penuh terhadap kelangsungan program ini.

Majlis diserikan dengan bacaan doa, ucapan oleh Pengarah Pearl House Design, gimik perasmian, penyerahan mock-up kunci rumah serta penyampaian cenderamata. Para tetamu VIP juga berpeluang menyertai sesi lawatan ke unit-unit rumah Fasa 7 untuk melihat sendiri susun atur dan mutu pembinaan kediaman yang disediakan.

Projek pembangunan ini bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor perumahan di daerah Kuala Muda, malah memperkukuh kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta dalam usaha memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang mampan, terancang dan inklusif.

Klik untuk gambar sekitar program
Klik untuk video sekitar program

Skip to content