GOTONG-ROYONG PERDANA DI TAMAN DESA ILMU, POKOK SENA : KAWASAN BERSIH DAN CERIA HASIL KERJASAMA PADU PENDUDUK TAMAN DAN MBAS

12 Julai 2025, Pokok Sena – Para penduduk di Taman Desa Ilmu, Pokok Sena bertuah kerana taman perumahan mereka telah terpilih sebagai lokasi gotong-royong anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, MBAS, Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBAS, Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd., Jawatankuasa Zon 17-Sena serta Komuniti Kampung Sungai Durian, Pokok Sena.
 
Perasmian program telah disempurnakan oleh Tuan Setiausaha MBAS, Encik Nasrankamil bin Noh dalam majlis perasmian ringkas yang turut disaksikan Pegawai Daerah Pokok Sena, Ahli-ahli Majlis MBAS, Pengarah Jabatan dan Ketua Bahagian MBAS, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan pemimpin masyarakat setempat.
 
Selain aktiviti utama iaitu gotong-royong, berlangsung juga aktiviti memasak Bubur Asyura melibatkan Ahli Jawatankuasa Komuniti Kampung Sungai Durian dan kaum wanita dari kalangan penduduk taman dan pegawai-pegawai dari jabatan/agensi.
 
Kaunter perkhidmatan dan pembayaran dari MBAS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah turut dibuka untuk memberikan kemudahan kepada para penduduk dan pengunjung. Selain itu, terdapat juga ‘booth’ khidmat pelanggan dan pameran dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Tabung Haji, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), SWCorp Malaysia dan Kedah Cashless.
 
Dalam majlis penutupan, Tuan Setiausaha MBAS berbesar hati menyampaikan hadiah berupa hamper kepada pemenang Anugerah Pembayar Cukai Taksiran Terbaik Taman Desa Ilmu dan Anugerah Lorong Paling Ceria Taman Desa Ilmu. Sebelum majlis bersurai, Bubur Asyura telah diedarkan kepada semua yang hadir disamping jamuan makan tengah hari.
 
Skip to content