15 JULA 2025 (SELASA)
Majlis Daerah Yan (MDY) telah menganjurkan satu Kempen Membasmi Tikus pada 15 Julai 2025 (Selasa), bertempat di Pasar Awam Pekan Yan Kechil, Kedah. Kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha bersepadu MDY dalam meningkatkan tahap kebersihan awam dan mengawal populasi tikus, khususnya di kawasan pasar yang menjadi nadi ekonomi serta tumpuan masyarakat setempat.
Objektif utama kempen ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat serta mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit yang berpunca daripada tikus. Antara aktiviti utama termasuk pemeriksaan kawasan persekitaran pasar dan pelaksanaan penyemburan bahan kawalan vektor di lokasi berisiko tinggi.
Turut hadir memberi sokongan kepada kempen ini ialah wakil daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Yan, SWCorp, dan Edaman, bersama kehadiran ahli-ahli Majlis Daerah Yan. Penyertaan aktif para peniaga yang turut serta dalam program ini turut dihargai sebagai simbol komitmen dan kesedaran bersama dalam memelihara kebersihan persekitaran pasar.
Majlis Daerah Yan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kempen ini dan berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan komuniti setempat.





