




14 Julai 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), yang diketuai oleh YBhg. Dato’ IR. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid, Ketua Pengarah JPSPN.
Kunjungan ini disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, yang menekankan pentingnya pengurusan sisa pepejal dalam usaha untuk mencapai persekitaran yang lebih teratur dan lestari. MPKK komited untuk mengambil langkah proaktif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal di Kulim dan kawasan sekitarnya.
Dalam sesi taklimat yang diadakan, Sr. Mohamad Syakir bin Daman Huri, Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKK, telah membentangkan cadangan projek pembangunan tapak pelupusan sanitari sisa pepejal di Padang Cina, Kulim. Projek ini dijangka memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar, dengan matlamat menyediakan kemudahan pengurusan sisa yang lebih teratur dan mampan di seluruh daerah Kulim.
YBhg. Ketua Pengarah JPSPN dalam ucapannya berkata, inisiatif MPKK melalui Kulim Intelligent Command Centre (KICC), yang merupakan langkah maju dalam pengintegrasian data dalam satu sistem. Beliau menekankan pentingnya kerjasama antara agensi untuk memastikan usaha ini berjalan lancar, serta menegaskan bahawa JPSPN sentiasa melihat peluang untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan pencemaran dapat dikawal dengan lebih baik.
Turut hadir, Tuan Dr. Faisal bin Ariffin, Pengarah (Bahagian Perancang Fasiliti) JPSPN, Encik Jaafar Sadeq bin Dato’ Mohd Nordin, Pengarah Operasi, Panimex Construction Sdn. Bhd.; ketua-ketua jabatan MPKK.
Semoga kerjasama erat ini dapat terus diperkukuh demi pengurusan sisa yang lebih mampan dan terancang untuk warga Kulim dan kawasan sekitar.