PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA JALAN PINTU 10
07 Julai 2025 (Isnin) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil-wakil penjaja Jalan Pintu 10 bertempat di Dewan Mesyuarat UTC Kedah. Sesi ini bertujuan membincangkan isu berkaitan pemindahan serta penyusunan semula penjaja di lokasi berkenaan bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas dan memastikan tahap kebersihan yang lebih teratur.
Sesi perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Tuan Setiausaha MBAS, Encik Nasrankamil Bin Noh. Turut diadakan ialah satu taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, Puan Nor Shakila Binti Che Ali, yang memberi penerangan menyeluruh berkenaan pengurusan serta garis panduan aktiviti penjajaan yang lebih sistematik.
Hasil perbincangan bersama, semua penjaja yang terlibat bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu yang telah dikenal pasti oleh pihak MBAS dalam masa terdekat. Langkah ini diambil bagi menjamin kelangsungan perniagaan penjaja serta kesejahteraan warga bandar raya secara keseluruhan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'