17 JULAI 2025 (KHAMIS)
Majlis Daerah Yan meneruskan inisiatif pembangunan ilmu kakitangan melalui penganjuran Seminar Penerangan Bahaya Penipuan Kewangan (Scammer) dan Pengurusan Hutang yang diadakan di Dewan Alamanda, D’Yan Chalet.
Seminar dimulakan dengan ucapan pembuka bicara oleh Tuan Setiausaha MDY, Encik Amir Ezzat Bin Ismail yang menekankan pentingnya penjawat awam meningkatkan tahap literasi kewangan, lebih berhati-hati dengan penipuan kewangan serta mengamalkan pengurusan kewangan yang teratur dan beretika.
Turut menyampaikan ucapan ialah Encik Mubin Bin Jusoh, Pengurus Cawangan BSN Guar Chempedak yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha Majlis dalam mendidik warga kerja mengenai bahaya scammer dan pentingnya membuat keputusan kewangan yang tepat.
Seminar diteruskan dengan sesi perkongsian oleh barisan profesional dari institusi kewangan yang berkongsi ilmu berkaitan pengurusan hutang, perancangan kewangan peribadi, pelaburan dan keselamatan transaksi atas talian.
Program mendapat sambutan yang sangat baik daripada kakitangan Majlis. Diharapkan seminar ini dapat meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan kewangan dalam kalangan warga kerja MDY, sekali gus membentuk budaya pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dan berhemah.




