CADANGAN MEWUJUDKAN PASAR MALAM @PEKAN RABU | PERBINCANGAN ANTARA MBAS DAN KOPERASI PEKAN RABU

Alor Setar, 20 Julai 2025 (Ahad) – Satu sesi perbincangan mengenai cadangan mewujudkan Pasar Malam @Pekan Rabu telah diadakan pagi tadi bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Aula, Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
 
Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya dan turut melibatkan kerjasama antara pihak MBAS dan Koperasi Pekan Rabu. Koperasi Pekan Rabu telah dihadiri Pengerusinya, En. Shahrizal Zolkeple; Pengurus Pekan Rabu, En. Izahar Ibrahim; serta Pegawai Sekretariat Pekan Rabu, Pn. Salsabila Abdul Rashid.
 
Cadangan tersebut melibatkan penganjuran Pasar Malam @Pekan Rabu pada setiap hari Rabu, bertempat di perkarangan Pekan Rabu bermula jam 4.00 petang hingga 11.00 malam. Pelaksanaan pasar malam ini juga bakal melibatkan penyertaan seramai 40 penjaja daripada Night Market @Pokok Sena.
 
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha bagi menghidupkan suasana bandar raya Alor Setar, seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025 serta kempen Mai Singgah Alor Setar Lagi, dalam usaha mempergiatkan aktiviti ekonomi tempatan serta menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.
 
Hadir sama dalam perbincangan ini ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, En. Khairudin Idris, Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content