PROGRAM KEMPEN CEGAH WABAK DENGGI 2025 DI TAMAN BANDAR BARU, POKOK SENA.
19 Julai 2025, Pokok Sena – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah melaksanakan Program Kempen Cegah Wabak Denggi 2025 yang berlangsung pagi tadi bertempat di Taman Bandar Baru, Pokok Sena yang melibatkan kawasan Lorong Tembusu 4, 5 dan 6. Program ini merupakan inisiatif MBAS bagi menyahut aspirasi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia melalui Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT 2025 dalam usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan membanteras penularan wabak denggi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Bin Yahya. Program turut diserikan dengan pelbagai pengisian bermanfaat dan menarik yang melibatkan penyertaan aktif penduduk setempat. Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran, Pertandingan Cari & Musnah Jentik-Jentik, Pertandingan Sampah Terberat, Pertandingan Lorong Terbersih, serta Pertandingan Mewarna yang menyasarkan penglibatan kanak-kanak.
Selain itu, turut diadakan Jualan Rahmah Madani Bergerak yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan kepada orang ramai. Pelbagai kaunter perkhidmatan turut disediakan bagi memberi kemudahan dan maklumat kepada penduduk, antaranya Kaunter Pemeriksaan Kesihatan Pejabat Kesihatan Kota Setar, Kaunter Bergerak MBAS, Kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, Wellness Hub Unit Promosi Kesihatan Kota Setar, SWCORP Kedah, inisiatif “Trash To Cash” oleh E-Idaman, serta kaunter jualan promosi oleh Unifi.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang bahaya denggi, malah memperkukuh kerjasama antara pihak agensi kerajaan dan masyarakat. Komitmen bersama ini penting bagi memastikan kawasan perumahan kekal bersih, selamat dan bebas wabak.
Hadir sama di program ini ialah Pegawai Kesihatan Daerah Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, YBrs. Dr. Haji Mohd Zukri Bin Ibrahim; Tuan Setiausaha MBAS, En. Nasrankamil Noh; Ahli Majlis Zon 17 Sena MBAS, Pn. Robiah Dahaman; Pegawai SWCorp Kedah, En. Mohd Azam Abd Hamid; Penghulu kawasan, En. Solihin; serta Pengerusi Persatuan Penduduk Kawasan, En. Hassan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'