PROJEK MURAL TUN MAHATHIR DILUKIS SEMULA MINGGU HADAPAN

Alor Setar, 11 Ogos 2025 (Isnin) – Projek lukisan mural wajah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Medan Seni bakal dilaksanakan semula bermula minggu hadapan, selepas karya tersebut diturunkan sementara bagi memberi laluan kepada pemilik bangunan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata, penurunan mural berkenaan dibuat atas permintaan pemilik bangunan untuk menjalankan kerja renovasi, dan bukannya dipadam seperti yang tular di media sosial.
 
“Lukisan mural itu bukan dipadam, tetapi pemilik bangunan ingin merenovasi semula bangunan mereka. Alhamdulillah, pemilik bangunan telah bersetuju untuk kita melukis semula mural pada dinding yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak projek mural tersebut di Medan Seni, Alor Setar.
 
Tambah beliau lagi, projek baharu itu akan dilaksanakan bermula minggu hadapan di bawah kendalian Kedah Tourism dengan tema “Jasa Tun Mahathir 100 Tahun Sebagai Seorang Negarawan”, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan negara.
“Minggu depan kita akan lakarkan kembali mural jasa Tun M, 100 tahun sebagai negarawan dan yang akan melukis ni semua anak-anak Kedah”.
 
“Projek ini akan berjalan selama 30-45 hari, dan sekiranya tiada halangan seperti cuaca baik dan semuanya baik insyaallah kita akan cuba siapkan sebelum 16 September 2025 sempena Hari Malaysia”, ujarnya.
 
 
Skip to content