OPERASI BERSEPADU PEMERIKSAAN LESEN DAN KEBERSIHAN

ALOR SETAR, 9 Ogos 2025 (Sabtu) – Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTREC) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Seberang Terus kini siap dibina dan bakal memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Pusat yang diuruskan oleh Syarikat Trash4Cash ini berpotensi memberikan pulangan ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat, di samping memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya berkata, inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk menggalakkan amalan kitar semula di peringkat komuniti, sekali gus mengurangkan masalah longkang tersumbat akibat pembuangan sampah yang tidak terkawal yang boleh menjadi punca berlakunya banjir kilat.
 
“Sebelum ini, masalah longkang tersumbat akibat pembuangan sampah tidak terkawal menjadi antara punca berlakunya banjir kilat. Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan masalah tersebut serta meningkatkan kesedaran sivik masyarakat terhadap penjagaan kebersihan,” Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian ADTREC JPKKP Kampung Seberang Terus di Kampung Berjaya, Alor Setar.
 
Hadir sama mantan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md. Hanipah; Pengerusi JPKKP Seberang Terus, Tuan Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa Syed Hafiz; Dato’ Haji Abdul Kadir Mohamad; Pengerusi dan Imam Masjid Kg Berjaya serta komuniti setempat.
Tambah beliau lagi, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah meluluskan permohonan untuk membuka 11 lagi ADTREC di seluruh kawasan pentadbiran MBAS. Pembukaan ini dijangka akan memperluas akses kepada kemudahan kitar semula automatik kepada penduduk bandar raya Alor Setar.
 
“Selain JPKKP Kampung Seberang Terus, kita di peringkat MBAS juga telah meluluskan permohonan 11 lagi ADTREC yang bakal dibuka tidak lama lagi antaramya ialah JPKKP Kampung Derga, JPKKP Kg. Jalan Stadium, JPKKP Kg. Kebun Jambu, JPKKP Kg. Mempelam, JPKKP Kg. Lubuk Peringgi, JPKKP Kg. Selarong Lalang Kanan, JPKKP Kg. Padang Lalang, JPKKP Kg. Hujung Alor, JPKKP Kg. Titi Gajah, JPKKP Kg. Keriang Menora dan JPKKP Kg. Gelam”, ujarnya.
 
Beroperasi 24 jam sehari, ADTREC berkonsepkan Do It Yourself (DIY) bagi memudahkan orang ramai menguruskan sendiri proses penghantaran bahan kitar semula. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR untuk memuat turun aplikasi Trash4Cash dan memberi butiran mereka. Seterusnya pengguna perlu memasukkan bahan yang ingin dikitar semula ke dalam ‘deposit bucket window’ mengikut kategori yang disediakan disitu.
 
Barangan yang dihantar akan dibawa ke pusat kitar semula untuk verifikasi. Data dan pembayaran akan dikemaskini secara atas talian terus ke akaun pengguna dalam tempoh 7-14 hari selepas ‘drop off’.
 
 
Skip to content