OPERASI BERSEPADU PREMIS SEMBELIHAN AYAM | MBAS KELUAR KOMPAUN DAN NOTIS
Alor Setar, 14 Ogos 2025 (Khamis) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerusi Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Bahagian Penguatkuasaan, dengan kerjasama Unit Halal serta Pejabat Agama Negeri Kedah, telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Sembelihan Ayam di sekitar bandar raya Alor Setar.
Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan semua pengusaha premis sembelihan mematuhi aspek kebersihan, keselamatan dan perlesenan, sejajar dengan undang-undang yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebuah premis telah dikenakan dua kompaun dan satu notis atas pelbagai kesalahan iaitu 1 kompaun atas kegagalan menyelenggara sum longkang dengan baik, yang menyebabkan kekotoran di bahagian longkang hadapan premis, 1 kompaun bagi kesalahan tiada lesen MBAS serta 1 notis di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983 atas kesalahan tidak membersihkan premis di dalam dan luar premis dengan keadaan baik termasuk keadaan lantai yang dipenuhi darah sisa sembelihan ayam. Manakala dua lagi premis masih tidak beroperasi semasa pemeriksaan dijalankan.
Pihak MBAS dan Pejabat Agama Negeri Kedah sentiasa komited untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin kebersihan premis dan keselamatan makanan di bandar raya Alor Setar. Justeru, semua pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'