PROGRAM MURAL ‘LAWAN SENI KANVAS KESELAMATAN NEGARA’ SEMARAKKAN BULAN KESELAMATAN NEGARA DAN BULAN KEMERDEKAAN 2025
Alor Setar, 18 Ogos 2025 (Isnin) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Petron Malaysia telah berjaya menganjurkan Program Lawan Seni Kanvas Keselamatan Negara yang diadakan baru-baru ini di Lorong Selamat, Alor Setar. Dengan bertemakan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”, program tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat dari pelbagai lapisan sempena sambutan Bulan Keselamatan Negara dan Bulan Kemerdekaan 2025.
Pertandingan Lawan Seni Kanvas ini melibatkan penyertaan sebanyak 8 buah sekolah dari pelbagai daerah dalam negeri Kedah, mencungkil bakat seni di kalangan pelajar sekolah dengan mempamerkan lukisan mural bertemakan Keselamatan dan Kemerdekaan. Lukisan-lukisan mural yang dihasilkan kini telah menjadikan Lorong Selamat sebagai salah satu tarikan baharu di bandar raya Alor Setar, yang menarik perhatian masyarakat setempat dan pengunjung.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Haji Norizan Khazali berkata Kerajaan Negeri Kedah komited untuk mendukung usaha peningkatan dan menaik taraf daya tarikan pelancongan di seluruh negeri melalui program seperti ini.
”Tahniah kepada para pemenang serta terima kasih kepada rakan kerjasama iaitu MKN, MBAS, Kementerian Pendidikan dan juga Petron Malaysia yang telah menjayakan program ini. Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dari masa ke semasa pada masa hadapan”.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Lawan Seni Kanvas Keselamatan Negara Bertemakan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” di Bandaraya Alor Setar Sempena Bulan Keselamatan Negara Dan Bulan Kemerdekaan Negara 2025 di Lorong Selamat, Alor Setar.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya; Pengarah Keselamatan Negeri Kedah, Puan Zuraini Mohd Yusof; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Tuan Haji Zakaria Bin Md Saad serta Pengurus Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Encik Helmi Abd Hafidz. Majlis Penutup Program tersebut turut dimeriahkan dengan Konvoi Jelajah Aspirasi Malaysia yang merupakan program kolaborasi antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Petron Malaysia.
Tahniah diucapkan kepada Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu yang telah menjadi Johan pertandingan, diikuti oleh SMK Kubor Panjang di tempat kedua dan SJK (C) Keat Hwa di tempat ketiga. Tahniah juga diucapkan kepada sekolah-sekolah lain yang terlibat iaitu SMK Tunku Abdul Malik, SMK Sultanah Asma, SMK Dato’ Syed Omar, SMK Alor Janggus dan SMK Convent.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'