TANDAS AWAM KOLAM RENANG MBAS TERSENARAI 5 TERBAIK SARINGAN AKHIR ANUGERAH TOILET OF THE YEAR AWARD (TOTYA) 2025

19 Ogos 2025 (Selasa) – Tandas Awam Kolam Renang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melakar pencapaian membanggakan apabila tercalon sebagai salah satu daripada lima finalis terbaik saringan akhir bagi Anugerah Toilet of The Year Award (TOTYA) 2025 kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sesi penjurian saringan akhir telah diadakan baru-baru ini oleh dua panel penilai iaitu Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Encik Mohd Firdaus Siau bin Abdullah, dan Presiden Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM), Encik Hasan bin Hamzah.
 
Turut hadir dalam sesi penjurian tersebut ialah Tuan Setiausaha MBAS, En. Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Ahli Majlis Zon 10 MBAS, En. Amir Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, En. Khairudin Idris, Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Pertandingan Toilet of The Year Award (TOTYA) 2025 merupakan inisiatif Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bagi mengitiraf tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW). Sebanyak lapan kategori tandas awam yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sekolah, Restoran, Hotel, Stesen Minyak, Pusat Beli-Belah, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Rumah Ibadat.
 
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Bahagian Perkhidmatan Bandar, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kejuruteraan, Bahagian Landskap dan Rekreasi, serta Bahagian Pengurusan Harta atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan.
 
Pihak MBAS juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis MBAS iaitu Encik Amir Ahmad dan Encik Shamsudin Ahmad atas bantuan yang diberikan serta Lukman Spray Body Paint (Jalan Langgar) atas sumbangan kerusi kitar semula yang diperbuat daripada tayar kenderaan.
 
 
Skip to content