PENYUSUNAN SEMULA PENJAJA TAMAN KOPERASI, ALOR SETAR

Alor Setar, 21 Ogos 2025 (Khamis) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil penjaja Taman Koperasi di Dewan Mesyuarat UTC Kedah bagi membincangkan isu pemindahan dan penyusunan semula penjaja di kawasan tersebut. Langkah ini diambil bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serta memastikan tahap kebersihan yang lebih teratur.
 
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, En. Khairudin Idris bersama Ahli Majlis Zon 10 MBAS, En. Amir Ahmad. Turut diadakan taklimat khas oleh Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja, Puan Nor Shakila Che Ali, yang memberi penerangan menyeluruh mengenai pengurusan serta garis panduan penjajaan yang lebih sistematik.
 
Hasil perbincangan bersama, semua penjaja yang terlibat bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu iaitu di tapak parkir bersebelahan Medan Selera Darul Aman bermula September ini. Langkah ini diambil bagi menjamin kelangsungan perniagaan penjaja serta kesejahteraan warga bandar raya secara keseluruhan.
 
 
Skip to content