PROGRAM SAMBUTAN PRA MERDEKA 2025 TAMAN KITA, SEMARAKKAN BULAN KEMERDEKAAN 2025

Alor Setar, 23 Ogos 2025 (Sabtu) – Program Sambutan Pra Merdeka 2025 telah berlangsung penuh meriah di Kawasan Komuniti Taman Kita dengan kehadiran ratusan penduduk setempat. Program tersebut merupakan anjuran Ahli Majlis Zon 7 MBAS, Puan Noor Azra Md Saleh, dengan kerjasama Pertubuhan Penduduk Taman Kita (PPTK). Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya telah hadir merasmikan program berkenaan.
 
Dato’ Haji Abdul Gafar dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa penganjuran program sebegini berperanan mengeratkan hubungan sesama penduduk setempat.
“Selain meraikan sambutan hari kemerdekaan, kita juga dapat memperkukuh jalinan silaturrahim dan semangat kejiranan. Inilah asas kekuatan negara rakyat yang bersatu hati dan saling menyokong dalam apa jua keadaan,” jelasnya.
 
Tambah beliau lagi, penglibatan golongan muda dalam program kemerdekaan adalah sangat penting demi memastikan semangat patriotisme terus diwarisi, seterusnya melahirkan generasi yang mempunyai jati diri kukuh serta kesedaran demi kedaulatan negara.
“Anak-anak kita adalah pewaris kemerdekaan. Semangat cintakan negara perlu dipupuk melalui aktiviti yang menyeronokkan, kreatif, dan mendidik. Jika generasi muda memahami erti kemerdekaan, maka masa depan negara akan terus terpelihara,” ujarnya.
 
Program tersebut berlangsung dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan rumah berhias merdeka, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak bertemakan kemerdekaan, sambutan hari lahir ahli PMTK, serta persembahan qasidah dan selawat. Kehadiran penduduk yang ramai memeriahkan suasana sekali gus membuktikan komitmen masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan 2025.
 
Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Majlis MBAS, En. Shamsudin Ahmad dan Pegawai Undang-Undang MBAS, Dr. Elina Mohd.
 
 
Skip to content