RIBBON RUN 2025: LARIAN AMAL 5KM SEMARAKKAN KESEDARAN KANSER

Alor Setar, 22 Ogos 2025 (Jumaat) – Suasana di pekarangan Dataran Medan Bandar baru-baru ini meriah dengan kehadiran lebih 500 peserta yang menyertai acara Ribbon Run 2025, sebuah program larian amal sejauh 5 kilometer bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya kanser.
 
Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, YB The Swee Leong; Penaung Cancer Survivors Malaysia; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), En. Afizudin Dato Paduka Hj. Mohd Saad; serta Presiden Infiniteminds Management, En. Wan Mohd Ebrahem.
 
Selain aktiviti larian, program turut diisi dengan sesi ceramah kesedaran kanser yang disampaikan oleh Presiden Cancer Survivors Malaysia, Puan Zuraini Kamal. Ceramah tersebut menekankan pentingnya gaya hidup sihat serta pengkongsian tips-tips kepada pesakit kanser.
 
Acara kemuncak program menyaksikan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta yang disempurnakan oleh Pengerusi Food Bank Malaysia, En. Mohd Azrul Mohd Razak.
Penganjuran Ribbon Run 2025 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memperjuangkan kesedaran tentang kanser serta menzahirkan semangat kebersamaan masyarakat. Dengan sokongan padu daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat, program ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai simbol harapan dan perjuangan menentang kanser.
 
 
Skip to content