






21- 23 Ogos 2025, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Bengkel Bajet 2026. Bengkel ini diadakan bagi menyelaras perancangan, hasil, one-off serta dasar baharu setiap jabatan agar bajet yang dirangka benar-benar menepati keperluan dan hala tuju pembangunan di MPKK.
Pelaksanaan bengkel ini turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, memperkukuh amalan tadbir urus yang baik, serta memastikan bajet yang disusun dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK dan Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK juga telah hadir bagi menilai permohonan bajet jabatan dan membincangkan hala tuju bajet pembangunan ke arah kemampanan bandar dan peningkatan tahap penyampaian perkhidmatan MPKK kepada pelanggan.
Bajet 2026 turut memberi tumpuan kepada penyediaan peruntukan bagi sambutan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kulim yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Sambutan bersejarah ini akan menjadi wadah untuk menzahirkan penghargaan terhadap sokongan rakyat sepanjang 25 tahun MPKK dinaik taraf daripada Majlis Daerah ke status Majlis Perbandaran serta memperkukuh iltizam bersama dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Kulim ke arah bandar yang lebih makmur, sejahtera dan mampan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan bengkel ini. Semoga hasil daripada perbincangan dan penyelarasan ini mampu menjadi asas kukuh dalam merealisasikan Bajet 2026 demi kesejahteraan komuniti.