RAKYAT KEDAH DISERU SERTAI USAHA PENANAMAN 2.2 JUTA POKOK.

JERLUN, 2 September 2025 (Selasa) – Program Penanaman Pokok Bakau anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah sempena inisiatif Penghijauan Negeri Kedah telah berlangsung meriah di Kampung Jeruju, Mukim Jerlun, Daerah Kubang Pasu hari ini. Program ini diadakan sebagai menyahut Kempen Penanaman 2.2 Juta Pokok yang dilancarkan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah pada 21 Januari lalu sebagai langkah menghijaukan negeri.

Seramai 400 peserta daripada 19 agensi termasuk pelajar Institut Latihan Perindustrian hadir menyertai program tersebut. Buat julung kalinya, PTG Negeri Kedah berkolaborasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, dengan sebanyak 1,000 anak pokok bakau disumbangkan untuk ditanam di kawasan seluas 1.85 meter persegi setiap pokok.

Sebelum penanaman dimulakan, peserta diberi taklimat ringkas oleh pihak Jabatan Perhutanan mengenai kaedah menanam pokok bakau, iaitu memindahkan anak benih dalam polybag ke dalam lubang yang telah ditugal.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dalam ucapannya berkata, hasil daripada pelaksanaan program ini, jumlah penanaman pokok bakau di negeri ini kini telah mencecah 117,000 pokok.

“Saya menyeru setiap rakyat Kedah agar menanam apa jua jenis pokok di kediaman masing-masing serta mendaftarkan jumlahnya bagi memastikan sasaran 2.2 juta pokok dapat dicapai. Penglibatan rakyat amat penting kerana jumlah sasaran tersebut adalah berdasarkan populasi penduduk di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penanaman pokok bakau memberi manfaat besar, termasuk mengurangkan hakisan pantai, mengatasi masalah banjir, memperbaiki ekosistem habitat serta mengatasi isu kepupusan biotik seperti udang dan ketam.

“Selain itu, penanaman pokok juga dapat mempromosikan gaya hidup sihat. Persekitaran yang hijau dan segar mampu menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sihat seperti berbasikal, berjalan kaki dan berjoging berbanding kawasan bandar yang dipenuhi bangunan tanpa kehijauan,” ujarnya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah PTG Negeri Kedah, Dato’ Muhamad Arof Darus; Setiausaha Jemaah Dato’ Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Che Nai; ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman.

#perbandaranbersihindah

#majlisperbandarankubangpasu

#MPKP

🖱 Portal : https://pbt.kedah.gov.my/…/majlis-perbandaran-kubang-pasu/

📱 Twitter : https://twitter.com/mpkubangpasu

📲 Instagram : https://www.instagram.com/majlisperbandarankubangpasu/

💻Facebook : https://www.facebook.com/MPKubangpasu

📱 WhatsApp Aduan : https://wa.link/c38jh1

Skip to content