OPERASI PEMERIKSAAN KEBERSIHAN DAN LESEN PREMIS MAKANAN | 6 KOMPAUN DIKELUARKAN DAN 1 PREMIS DIARAH TUTUP SERTA MERTA

Alor Setar, 2 September 2025 (Selasa) – Majlis Bandaraya Alor Setar melalui Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah menjalankan satu Operasi Pemeriksaan Kebersihan dan Lesen Premis makanan di sekitar Jalan Kancut, Alor Setar, malam tadi.
 
Hasil daripada pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas 3 buah premis, pihak MBAS telah mengeluarkan enam (6) kompaun atas pelbagai kesalahan iaitu tiada lesen MBAS, tiada permit kerusi dan meja, tidak menyelenggara perangkap minyak dengan sempurna serta tidak menyediakan tong sampah dengan sempurna (tidak bertutup) semasa menjalankan perniagaan.
 
Manakala pihak PKD Kota Setar telah mengarahkan satu premis telah ditutup serta merta selama 14 hari atas kesalahan di bawah seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi pemilik premis tersebut membersihkan premis berkenaan setelah pemeriksaan mendapati markah penggredan kebersihan premis berada di bawah 75%.
 
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis/peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
 
Skip to content