PROGRAM JAMUAN RAKYAT DAN GOTONG-ROYONG BERSAMA KOMUNITI BEDONG BERJAYA DILAKSANAKAN
Program Jamuan Rakyat dan Gotong-Royong bersama Komuniti Bedong sempena Sambutan Ulangtahun Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) ke-31 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 September 2025 (Khamis) bertempat di Taman Ilham, Bedong.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat, di samping memupuk semangat kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan penduduk.
Antara pengisian program termasuk: Pendaftaran dan taklimat program, Gotong-royong dan aktiviti sukan komuniti, Jamuan makan tengah hari dan sesi bual bicara bersama penduduk, Penyerahan Bakul Kasih, Penyampaian hadiah sempena pertandingan bola sepak dan cenderahati penghargaan
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB. Baddrol Bin Bakhtiar Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun yang meluangkan masa bersama komuniti setempat dalam aktiviti gotong-royong dan jamuan rakyat.
Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah wakil-wakil daripada pelbagai agensi dan organisasi termasuk: Jabatan Kerja Raya (JKR) & THB Maintenence Sdn.Bhd, Balai Polis Bedong, Rotary Club of Bandar Sungai Petani, AJK Masjid Al-Khariyah Bedong, Institut Kemahiran Langkasuka, Bank Rakyat Sungai Petani, Syarikat Environment Idaman, THB Maintenance Sdn. Bhd., Majlis Ketua Kampung (MKK) Bedong dan Gurun
Selain itu, program ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) yang membuka jualan rahmah, pengerusi-pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta guru-guru dan para pelajar dari SMKA Sungai Petani Cawangan Bedong, yang sama-sama menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung. Hadir sama memberikan sokongan ialah Pengerusi PUSPANITA MPSPK, Puan Rafizah binti Hashim, dan Timbalan Pengerusi PUSPANITA MPSPK, Puan Syafiqah binti Mohd Radzi bersama Ahli-Ahli Puspanita MPSPK yang turut bersama-sama memeriahkan acara dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, malah turut menyemarakkan semangat kerjasama, perpaduan dan kekitaan dalam kalangan penduduk. Jamuan Rakyat menjadi platform terbaik untuk merapatkan silaturahim antara penduduk, komuniti setempat dan MPSPK, manakala aktiviti gotong-royong mencerminkan usaha bersama dalam menjaga kebersihan, keceriaan dan keharmonian kawasan perumahan serta ruang awam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih sejahtera, harmoni dan mampan.
Klik untuk gambar sekitar programKlik untuk video sekitar program

















