PENYUSUNAN SEMULA PENIAGA PASAR TANDOP | MBAS SERAH LEBIH 50 KHEMAH NIAGA PERCUMA KEPADA PARA PENIAGA
Alor Setar, 11 September 2025 (Khamis) – Lebih 50 buah khemah niaga berukuran 10’ x 10’ diserahkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) secara percuma kepada para peniaga Pasar Tandop di Majlis Penyerahan Khemah Peniaga yang diadakan pagi tadi bertempat di Tapak Pasar Pagi Tandop. Khemah tersebut merupakan hasil sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), diberikan kepada para peniaga di bawah inisiatif program penyusunan semula peniaga untuk menstrukturkan kawasan perniagaan di Bandaraya Alor Setar dengan lebih tersusun dan kemas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, En. Khairuddin Idris berkata khemah percuma tersebut diberikan kepada para peniaga yang telah berdaftar dan berlesen dengan pihak MBAS.
“Hari ini kita buat serahan sebanyak 44 buah khemah kepada peniaga-peniaga pagi dan juga 7 kepada penjaja petang. Khemah ini diberikan secara percuma kepada peniaga-peniaga yang telah membuat permohonan, berdaftar dan telah berlesen dengan pihak Majlis.
“Jadi saya mohon kepada peniaga yang masih belum lagi berlesen dengan pihak Majlis, boleh hadir ke Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS di tingkat 2 Bangunan UTC Kedah untuk mendaftar dan memohon lesen. Jika mempunyai lesen, para peniaga akan memperolehi pelbagai keistimewaan, katanya”
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Penjaja MBAS, Puan Nor Shakila Che Ali turut menasihatkan para peniaga untuk sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen dan menggunakan khemah yang telah diberikan.
“Saya ingin pesan kepada peniaga-peniaga yang dapat khemah hari ini, kena pastikan khemah yang diberi itu mesti digunakan, kalau tidak diguna pihak MBAS akan mengambil semula khemah tersebut mengikut syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan”.
“Dan saya juga sekali lagi ingin menasihati para peniaga, apa-apa info berkaitan haruslah dirujuk kepada pihak Majlis terlebih dahulu, jangan merujuk kepada orang yang tidak sepatutnya,” ujarnya.
Hadir sama di majlis penyerahan khemah tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Besar, Salmy Anas Ahmad; Ahli Majlis MBAS, En. Shamsudin Ahmad; Pengarah Jabatan Kewangan MBAS merangkap Penolong Pegawai Kawasan Zon 2, En. Mohamad Najib Bin Mohd Salleh; wakil khas Ahli Parlimen Alor Setar serta pegawai-pegawai terlibat.