PROMO WORLD CLEANUP DAY MBAS, PUPUK AMALAN KITAR SEMULA DALAM KALANGAN KAKITANGAN MBAS DAN WARGA BANDAR RAYA

Alor Setar, 11 September 2025 (Khamis) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama SWCorp Malaysia dan E-Idaman Sdn. Bhd. telah menganjurkan Promo World Cleanup Day di perkarangan ibu Pejabat MBAS. Program ini diuruskan oleh pelajar-pelajar Latihan Industri MBAS, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula dan pengurusan sisa di kalangan kakitangan MBAS dan warga bandar raya.
 
Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mengumpulkan barangan yang boleh dikitar semula termasuk minyak masak terpakai, plastik (CAMPUR, PET, PP, HDPE, LDPE), kertas (putih, kotak, surat khabar), serta tin aluminium dan besi. Turut diadakan perkhidmatan Trash To Cash yang disediakan oleh E-Idaman Sdn. Bhd., di mana setiap barangan yang dihantar akan ditimbang dan dibayar mengikut kadar yang telah ditetapkan. Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan pengamalan kitar semula yang lebih sistematik dan memberi nilai ekonomi kepada barangan terbuang.
 
Program tersebut telah dihadiri Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, Tuan Setiausaha MBAS, En. Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS, pegawai-pegawai SWCorp, E-Idaman Sdn. Bhd serta kakitangan terlibat.
 
Pihak MBAS ingin mengajak seluruh warga bandar raya untuk bersama-sama di program Hari Cuci Malaysia sempena World Cleanup Day 2025 yang akan berlangsung pada 27 September 2025 bertempat di Ampang Jajar, Alor Setar. Program ini bakal dilaksanakan serentak di seluruh negara, bertujuan untuk melibatkan lebih ramai masyarakat dalam usaha menggalakkan amalan kebersihan.
 
 
Skip to content