1200 PESERTA JAYAKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG HARI CUCI MALAYSIA 2025 PERINGKAT MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR

27 September 2025 (Sabtu) – Lebih 1200 orang warga bandar raya Alor Setar dari pelbagai lapisan masyarakat telah menjayakan Program Gotong-Royong Hari Cuci Malaysia peringkat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang diadakan bertempat di Taman Persisiran Ampang Jajar, Alor Setar.
 
Program tersebut telah berjaya mengutip sejumlah 8,460 kilogram sampah, memperlihatkan komitmen tinggi warga bandar raya terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
 
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan Negeri Kedah, YB Dzowahir Ab. Ghani, diiringi oleh Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Tuan Setiausaha MBAS, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta wakil-wakil dari pelbagai agensi dan komuniti terlibat.
 
Pelbagai aktiviti sampingan berkonsepkan pendidikan dan kesedaran turut diadakan antaranya ialah pertandingan mewarna, pertandingan teka berat kacang, dam nyamuk, serta kempen kitar semula “Trash to Cash” dan kutipan minyak masak terpakai tertinggi oleh E-idaman Sdn. Bhd.
 
Selain itu, pameran oleh agensi-agensi terlibat turut diadakan seperti pameran dari unit farmasi Hospital Sultanah Bahiyah, SWCorp Kedah, dan Bahagian Kawalan Penyakit dan Promosi Kesihatan MBAS yang bertujuan meningkatkan pengetahuan awam mengenai aspek kesihatan dan pengurusan sisa pepejal.
 
Program Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), diadakan serentak di seluruh negara bersempena World Clean Up Day 2025. Tahun ini, Program Hari Cuci Malaysia 2025 telah mencatatkan dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Dua rekod tersebut ialah penyertaan gotong-royong terbesar dengan penglibatan seramai 100,817 peserta di seluruh negara serta kutipan minyak masak terpakai terbanyak dalam tempoh sehari berjumlah 27,679.31 kilogram dengan nilai jualan mencecah RM79,684.56.
 
Skip to content