





30 September 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan sesi temuduga bagi pemilihan penyewa gerai milik MPKK yang diadakan di Bilik Jawatankuasa MPKK.
Temuduga ini dijalankan oleh panel penilai yang terdiri daripada Ahli Majlis, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Ketua Bahagian Peniaga Kecil dan Penjaja serta Pegawai Undang-Undang MPKK.
Antara lokasi gerai yang dibuka untuk penyewaan termasuklah Medan Citarasa (Tertutup), Medan Bandar Kulim, Pusat Penjaja Seri Kenangan (Pekan Karangan), Kiosk Pondok Bas, Arked An-Nur Padang Serai, Pusat Perniagaan Seri Cendana Padang Serai serta Pasar Besar Kulim.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab MPKK dalam menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat, khususnya peniaga kecil dan penjaja.
MPKK bukan sahaja berperanan dalam mengurus pembangunan bandar, kebersihan dan kesejahteraan awam, malah turut berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penyediaan fasiliti niaga yang lebih tersusun, bersih dan kondusif.
MPKK terus komited dalam menyediakan peluang serta sokongan kepada penduduk Kulim bagi meningkatkan taraf ekonomi dan menjadikan Kulim sebagai sebuah bandar pintar, sejahtera dan mampan.