






8 Oktober 2025 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dengan kerjasama Invest Kedah Berhad dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut serta dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2025) yang berlangsung selama empat hari bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis perasmian SIBS 2025 telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor. Turut hadir dalam majlis ini ialah YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor; YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan dif kehormat yang lain.
Dalam pameran yang menempatkan Pavilion Kedah, MPKK berperanan memperkenalkan inisiatif dan potensi pelaburan baharu di Kulim, termasuk Sistem KIDs MPKK untuk mengetengahkan Kulim Industrial Corridor Dashboard, yang berjaya menarik perhatian DYTM Raja Muda Selangor ketika kunjungan baginda ke Pavilion Kedah.
Sistem pintar ini berfungsi sebagai platform digital interaktif bagi menyalurkan maklumat terkini mengenai pembangunan perindustrian dan peluang pelaburan strategik di wilayah Kulim.
Penyertaan MPKK dalam SIBS 2025 turut menonjolkan pelbagai inisiatif mesra pelabur termasuk Inisiatif E10 – Permit Pembinaan Ekspres, yang menawarkan kemudahan dan kecekapan proses kelulusan kepada pelabur serta pemaju industri.
Melalui platform ini, MPKK terus komited memperkukuh imej Kulim sebagai hab pelaburan berdaya saing dan strategik di utara Semenanjung Malaysia.
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2025) menghimpunkan pemimpin global, usahawan dan pelabur dari pelbagai sektor utama termasuk makanan dan minuman (F&B), bandar pintar, aeroangkasa, ekonomi digital dan kesihatan, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai Gerbang Perniagaan ASEAN.
MPKK mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung dan pelabur untuk berkunjung ke Pavilion Kedah bagi menikmati pengalaman interaktif serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai peluang pelaburan dan fasilitasi awal yang disediakan oleh kerajaan negeri Kedah dan MPKK.