KONVENSYEN GEOMATIK KEBANGSAAN 2025 | JURUKUR TULANG BELAKANG TEKNIKAL KEPADA PEMBANGUNAN FIZIKAL NEGARA

Langkawi, 6 Oktober 2025 (Isnin) – Bidang geomatik dan juruukur hari ini merupakan aset penting sebagai tulang belakang teknikal dalam memacu pembangunan fizikal negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Khazali berkata geomatik memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan aspirasi negara menuju Malaysia Bandar Pintar 2030.
 
“Data geospatial bukan sekadar peta, tetapi ia adalah asas kepada pelbagai aplikasi pintar termasuk pengurusan lalu lintas bersepadu, pemantauan pencemaran udara dan bunyi, analisis keperluan infrastruktur berdasarkan kepadatan penduduk dan penyampaian maklumat kepada rakyat melalui aplikasi mudah alih.”
 
“Dengan adanya peta digital masa nyata, rakyat dapat mengetahui keadaan trafik, lokasi tempat letak kenderaan, kawasan banjir, dan status pembangunan dengan lebih mudah. Inilah contoh bagaimana geomatik menyentuh kehidupan harian kita.”
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Geomatik Kebangsaan: Pembangunan Pentadbiran Ke Arah Kemajuan Negara 2025 yang diadakan bertempat di Pelangi Beach Resort, Langkawi, hari ini. Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Presiden PEJUTA, LSr Md Rodi Bin Ismail serta Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha PBT yang terlibat.
 
Tambah beliau, geomatik turut memainkan peranan penting di dunia hari ini berdepan dengan cabaran yang semakin kompleks seperti perubahan iklim, pertumbuhan penduduk, pembangunan pesat, serta kemunculan teknologi baharu menuntut pendekatan inovatif dalam perancangan, pengurusan, dan kelestarian sumber.
 
“Geomatik bukan lagi sekadar ilmu ukur tanah, tetapi melibatkan pelbagai cabang teknologi termasuk penderiaan jauh (remote sensing) untuk pemantauan alam sekitar dan bencana, sistem maklumat geografi (gis) untuk analisis data spatial, teknologi drone dalam pemetaan udara, satellit navigasi global (gnss) dalam pembangunan infrastruktur moden, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data besar (big data) untuk gabungan maklumat geospatial.”
 
“Teknologi ini kini digunakan dalam hampir semua sektor daripada pertanian pintar, pengurusan banjir, pembangunan bandar pintar, sehinggalah kepada bidang keselamatan dan pertahanan negara, ujarnya.”
 
Konvensyen Geomatik Kebangsaan: Pembangunan Pentadbiran Ke Arah Kemajuan Negara 2025 dianjurkan oleh Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan sokongan Kerajaan Negeri Kedah, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), REHDA, Persatuan Pihak Berkuasa Temapatan Malaysia (MALA) Dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.
 
Konvensyen ini berlangsung selama 2 hari pada 6 dan 7 oktober 2025 bertempat di Pelangi Beach Resort, Langkawi dan menampilkan barisan penceramah yang hebat dan berpengalaman dengan perkongsian ilmu dalam aspek pengurusan dan pentadbiran tanah yang cekap melalui pengalaman pentadbiran tempatan dan amalan terbaik.
 
Konvensyen ini berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada Yang Dipertua, Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan Seluruh Malaysia, Ahli Majlis, Pegawai-Pegawai PBT, Pegawai Perancang Bandar, Jurutera, Juruukur, Arkitek, Pegawai Penilaian, Pegawai Undang-Undang, Pesuruhjaya Bangunan serta Agensi Luar, demi menyokong usaha penyelarasan dan pemantapan sistem pentadbiran tanah melalui perbincangan, input dasar dan cadangan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri geomatik dan juruukur tanah berlesen.
 
 
Skip to content