






11 Oktober 2025 – Program Kulim Healthy City Run (KHCR) 2025 yang diadakan di Taman Tasik Putra, Kulim telah dirasmikan oleh YBrs. TPr. Saidin bin Lateh, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia), dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Hj. Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).
Acara ini merupakan sebahagian daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025, yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat, menggalakkan aktiviti fizikal, serta memperkukuh hubungan antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Larian yang melibatkan kategori 3km, 5km dan 10km telah disertai oleh ratusan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat. Program turut dimeriahkan dengan senamrobik, pameran agensi kerajaan, serta pelbagai ‘pocket activities’ seperti street soccer, sepak raga tuju, baling nyok dan tuju tin yang menceriakan suasana di Taman Tasik Putra.
Dalam ucapan Yang Dipertua MPKK menekankan komitmen MPKK untuk menjadikan Kulim sebagai model bandar sihat dan mampan, selaras dengan sokongan pihak PLANMalaysia dalam merealisasikan konsep Healthy City. Sementara dalam ucapan perasamian oleh TPr. Saidin bin Lateh, menekankan bahawa perancangan bandar yang sihat dan lestari merupakan teras penting dalam kesejahteraan rakyat, seiring dengan matlamat ANMS dan KPKT.
Menariknya, hasil penilaian PLANMalaysia menunjukkan 85.20% penduduk Kulim berpuas hati dengan kemudahan di Taman Tasik Putra, dengan peningkatan ketara aktiviti riadah selepas pelaksanaan projek Healthy City.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang larian dan setinggi-tinggi penghargaan serta tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususunya pihak PLANMalaysia, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, NGO, penaja, rakan strategik, sukarelawan, serta warga Kulim yang hadir memeriahkan acara.
Terima kasih atas komitmen dan kerjasama padu semua pihak dalam menjayakan Program Pemerkasaan Pembangunan Healthy City di bawah ANMS 2025 ini. Semoga usaha ini terus menjadi pemangkin ke arah pembudayaan gaya hidup sihat dan kesejahteraan komuniti di Kulim.
Mari kita terus bersama menjadikan Kulim Bandar Sihat, Sejahtera dan Mampan!