








15 Oktober 2025 -Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menganjurkan Program Sumbangan Kasih Hari Deepavali 2025 bertempat di perkarangan Pejabat MPKK. Program ini diadakan bagi meraikan serta membantu golongan kurang berkemampuan dalam kalangan masyarakat India di daerah Kulim.
Program ini bertujuan menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan sempena sambutan perayaan Deepavali dengan pemberian sumbangan berbentuk kewangan kepada penerima yang layak. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha MPKK dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Bantuan kewangan tersebut telah disampaikan oleh Puan Noorul Azyyati Binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK dan majlis turut dihadiri dengan kehadiran Ahli-Ahli Majlis dan juga Pegawai Kawasan setiap zon.
Ahli-Ahli Majlis hadir bagi menerima sumbangan dan seterusnya penyerahan disalurkan kepada penerima sumbangan dalam kalangan masyarakat India di kawasan zon masing-masing.
Penganjuran program ini diharap dapat memupuk semangat perpaduan, keprihatinan dan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah Kulim, selaras dengan matlamat MPKK untuk membina komuniti yang harmoni dan sejahtera.
Semoga perayaan Deepavali akan datang membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kemakmuran kepada semua masyarakat kaum India.