MAJLIS PERBANDARAN KUBANG PASU ANTARA 9 TERBAIK TERIMA ANUGERAH “EARLY ADOPTER SMART CITY”

Putrajaya, 28 Oktober 2025 – Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) terus membuktikan kecemerlangan dan daya saingnya apabila dinobatkan antara 9 pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik daripada 27 penerima Anugerah Smart City Early Adopter sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2025 yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha gigih MPKP dalam memperkasa agenda Bandar Pintar Malaysia di bawah Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia.

Anugerah tersebut telah diterima oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Kubang Pasu, En. Faizal Azli bin Ghazali, yang mewakili pihak majlis dalam majlis penyampaian yang dihadiri oleh wakil-wakil PBT seluruh negara.

Menurut En. Faizal Azli, pengiktirafan ini merupakan hasil kerjasama kukuh antara kepimpinan majlis dan seluruh warga MPKP yang sentiasa berusaha memperkenalkan inisiatif pintar berasaskan teknologi, tadbir urus digital, perkhidmatan mesra rakyat, serta pembangunan mampan demi kesejahteraan komuniti Kubang Pasu.

Kejayaan ini turut menonjolkan komitmen tinggi MPKP dalam memacu transformasi bandar yang efisien, inklusif dan lestari, sejajar dengan aspirasi nasional Negara Pintar 2040 serta matlamat KPKT untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar pintar di rantau ASEAN.

Dengan semangat dan visi yang jelas, MPKP bertekad untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi dalam penarafan bandar pintar — iaitu Developing Smart City dan Leading Smart City — sekali gus memastikan Kubang Pasu kekal sebagai bandar contoh yang moden, berdaya saing dan sejahtera di utara Semenanjung Malaysia.

🖱 Portal : https://pbt.kedah.gov.my/…/majlis-perbandaran-kubang-pasu/

📱 Twitter : https://twitter.com/mpkubangpasu

📲 Instagram : https://www.instagram.com/majlisperbandarankubangpasu/

💻Facebook : https://www.facebook.com/MPKubangpasu

📱 WhatsApp Aduan : https://wa.link/c38jh1

Skip to content