

PUTRAJAYA, 28 Oktober 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2025 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas komitmen dan usaha gigih dalam merangka serta melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Pintar Mampan Kulim 2035.
Penganugerahan berprestij ini disampaikan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, diiringi oleh YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT, serta YBhg. Datuk TPr. Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia.
Anugerah tersebut diterima oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim dalam majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya sempena Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025 dan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025.
Pengiktirafan ini diberikan kepada pihak berkuasa tempatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Malaysia berdasarkan penilaian MS ISO 37122:2019 – Sustainable Cities and Communities Indicators for Smart Cities.
Majlis Perbandaran Kulim diiktiraf atas keberhasilan strategi pintar dalam aspek pentadbiran digital, ekonomi pintar, infrastruktur digital, kesejahteraan komuniti, mobiliti lestari serta kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial.
Kongres kali ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, yang menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh dasar pembaharuan bandar melalui inovasi dan teknologi pintar bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat bandar.
Tahniah diucapkan kepada seluruh warga MPKK atas dedikasi, komitmen dan kerjasama berterusan dalam menjadikan Kulim sebuah bandar pintar, mampan dan berdaya huni menjelang 2035, selaras dengan Agenda Bandar Pintar Negara ke arah pembangunan bandar yang inklusif, berdaya saing dan berteknologi tinggi.