
30 Oktober 2025 – Mesyuarat Majlis Penuh MPKK merupakan platform tertinggi dalam struktur pentadbiran majlis yang menghimpunkan Ahli-Ahli Majlis lantikan politik serta Ahli Majlis Ex-Officio daripada agensi teknikal daerah seperti Pejabat Daerah, JKR, JPS, PDRM, Pejabat Kesihatan dan PlanMalaysia@Kedah serta ketua jabatan dalaman MPKK.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua berperanan membincang, mempertimbang dan meluluskan dasar, pelan tindakan, kertas kerja serta laporan-laporan berkaitan pentadbiran, pembangunan, kewangan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha, turut memainkan peranan penting yang bertanggungjawab membentangkan kertas kerja, melapor perkembangan pelaksanaan keputusan mesyuarat, serta memastikan segala tindakan susulan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Agenda tetap Mesyuarat Majlis Penuh merangkumi pengesahan minit mesyuarat terdahulu, cadangan menerima ketetapan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Dan Pemakluman Minit Mesyuarat Jawatankuasa OSC. Selain itu, pembentangan serta pertimbangan kertas kerja, perbincangan mengenai isu-isu pembangunan dan pentadbiran setempat.
Mesyuarat turut disertai taklimat khas daripada Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat Berhad) dan Pejabat Zakat Daerah Kulim, selain Majlis Angkat Sumpah bagi Ahli Majlis yang baharu.
MPKK terus komited memperkukuh tadbir urus, mempertingkat kecekapan pentadbiran dan memperkasa kesejahteraan warga Kulim.