BANGUNAN HOTEL IKONIK DI ALOR SETAR BAKAL DIBERI NAFAS BAHARU : PERJANJIAN PENGAMBILALIHAN DIMETERAI, DIJANGKA BEROPERASI MULAI MEI 2026
Kuala Lumpur, 15 Oktober 2025 (Rabu) – Bandar raya Alor Setar hari ini menerima lembaran baharu apabila termeterainya satu perjanjian bagi mengambil alih dan mengurus bangunan milik AmanahRaya REIT yang sebelum ini beroperasi sebagai Hotel Holiday Villa, sebuah bangunan hotel ikonik yang terletak di pusat bandar raya Alor Setar.
Perjanjian tersebut telah dimeterai antara Pacific Trustee Berhad dan Urban Collection Sdn Bhd dan ianya telah disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Hj. Abdul Gafar Yahya, Datuk Bandar Alor Setar bersama Yang Berbahagia Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Pengarah Urusan Amanahraya REIT.
Pengambilalihan pengurusan ini menandakan satu dimensi baharu kepada pembangunan bandar raya Alor Setar, di mana bangunan yang telah menutup operasinya sejak tahun 2018 (lapan tahun lalu) itu dijangka akan dibuka semula pada Mei 2026 di bawah pengurusan yang baharu, dengan nama Hotel Serasi Padi.
Pembukaan Hotel Serasi Padi dijangka bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat melalui peningkatan peluang pekerjaan, sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada sektor pelancongan di negeri Kedah khususnya bandar raya Alor Setar.
Turut hadir hadir mengiringi Yang Berbahagia Datuk Bandar di majlis tersebut ialah Dr. Elina binti Mohd, Pegawai Undang-Undang MBAS dan Encik Azhan bin Ramli, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBAS.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'




