63 KAKITANGAN MBAS TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG BAGI TAHUN 2024
Alor Setar, 28 Oktober 2025 (Selasa) – Seramai 63 orang kakitangan MBAS telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBAS dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MBAS bagi Tahun 2024 yang telah diadakan bertempat di Dewan Besar As-Sakinah, Tingkat 7, Menara MBAS, pagi semalam. Turut diraikan di majlis tersebut ialah 12 orang kakitangan MBAS yang akan dan telah bersara pada tahun 2025 serta seorang kakitangan MBAS yang telah bersara pada tahun 2024.
Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya mengucapkan tahniah kepada semua penerima APC dan berharap agar pengiktirafan yang diberikan ini dapat menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang, seterusnya menjadi mentor atau contoh terbaik kepada rakan sekerja.
“Perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada negara dan menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Ini boleh kita lakukan melalui pelaksanaan penambahbaikan yang berterusan terhadap sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.”
“Suka saya mengimbau dalam ucapan pertama saya sebagai Datuk Bandar pada 02 Februari 2025, saya telah melontarkan suatu cabaran kepada semua warga kerja MBAS untuk mengukuh dan mempelbagaikan kecemerlangan keupayaan dengan memfokuskan kepada 3 teras iaitu adaptasi, kolaborasi dan inovasi.”
“Bagi menjadikan bandar raya Alor Setar yang gemilang, berdayahuni dan berdayatahan. ‘Moving forward’ dengan menumpukan kepada 3 perkara di atas. Alhamdulillah, hasilnya sepertimana yang kita dapat lihat kini. Banyak kejayaan dan pengiktirafan dapat ditempa di peringkat negeri, kebangsaan malahan antarabangsa.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis tersebut. Hadir sama ialah Tuan Pegawai Daerah Pokok Sena, En. Nasrankamil Noh ; para Ahli Majlis MBAS, Timbalan Setiausaha merangkap Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan MBAS, En. Azlizam Jaafar Sidik ; Pengarah-Pengarah dan Ketua-Ketua Bahagian MBAS serta kakitangan yang terlibat.
Dalam pada itu beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih para pesara dan takziah kepada ahli keluarga yang mewakili kakitangan MBAS yang telah kembali ke rahmatullah atas segala penat lelah dan khidmat bakti kepada negara khususnya kepada Majlis Bandaraya Alor Setar.
“Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahannya. Ini tentunya satu kehilangan besar buat organisasi, apatah lagi kehilangan ini membabitkan pegawai yang kompeten dan berdedikasi, berilmu tinggi dan pengalamannya yang masih ditagih untuk terus membantu dan berkhidmat kepada negara dan rakyat.”
“Saya percaya, proses perpindahan daripada fasa kerjaya ke fasa persaraan mungkin mengambil masa untuk diadaptasi, ia merupakan fitrah perjalanan biasa yang perlu ditempuh oleh seseorang yang berkerjaya. Persaraan secara kebiasaannya dilihat sebagai pengakhiran dalam fasa kerjaya namun ia sebenarnya adalah satu permulaan kepada kehidupan yang juga penuh dengan cabaran dan liku untuk diterokai. ‘Retirement is not the closing of a story, but the opening of a brand new adventure’, ujarnya”.
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'








