JPA ANJUR SESI LIBAT URUS (SLU) MEKANISME PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN ALTERNATIF (ASD) SEKTOR AWAM BAGI ZON UTARA

Alor Setar, 4 November 2025 (Selasa) – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Mekanisme Penyampaian Perkhidmatan Alternatif (ASD) Sektor Awam bagi Zon Utara yang bertujuan memberi pencerahan mengenai teras strategik perkhidmatan awam dan garis panduan ASD yang dijadualkan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.
 
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA, Tuan Haji Faizal Azmir Abd Rashid berkata sesi zon utara ini diusahakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan melibatkan penyertaan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari Perak, Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang. Seramai 52 pegawai terlibat telah hadir dalam sesi libat urus tersebut.
 
“SLU ini diadakan untuk memberi kefahaman berkaitan teras strategik perkhidmatan awam sebagai penawaran utama JPA kepada semua agensi dalam membangunkan pelan strategik masing-masing, dan seterusnya memperjelaskan garis panduan ASD sektor awam.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sesi libat urus berkenaan yang diadakan bertempat di Dewan Mesyuarat UTC Kedah. Hadir sama Timbalan Setiausaha MBAS, En. Azlizam Jaafar Siddik yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar.
 
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara JPA bersama PSUK Negeri dan PBT dalam konteks pembangunan dan pengurusan dasar sumber manusia sektor awam.
“Kerjasama strategik ini merupakan asas yang kita guna pakai untuk memastikan dasar yang dibangunkan JPA ini dapat memberikan impak yang maksimum, bukan sahaja di peringkat Kementerian tetapi juga di peringkat negeri, PBT serta agensi-agensi sektor awam lain di dalam negara. Usaha ini pastinya kita akan teruskan untuk masa-masa yang akan datang,” ujarnya.
 
 
Skip to content