MURAL BAHARU TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD JADI TARIKAN DI BANDAR RAYA ALOR SETAR

Alor Setar, 29 Oktober 2025 (Rabu) – Mural baharu potret negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kini menjadi tarikan utama terbaharu di Medan Seni, Alor Setar, melambangkan penghormatan dan kebanggaan rakyat Kedah terhadap tokoh kelahiran bandar raya itu.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut, khususnya pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Kedah Tourism, serta Encik Veera selaku pemilik bangunan yang memberikan kerjasama penuh bagi pelaksanaan karya tersebut.
 
“Mural ini bukan sekadar lukisan di dinding, tetapi ia adalah lambang penghormatan dan kebanggaan rakyat Kedah terhadap seorang tokoh besar kelahiran Alor Setar yang telah mengharumkan nama negeri ini di persada dunia,”.
 
“Melalui hasil tangan artis tempatan, mural ini menyerlahkan semangat kepimpinan, keteguhan dan inspirasi yang dibawa oleh Tun. Ia turut menggambarkan usaha MBAS dalam memperindah landskap bandar serta memperkasa identiti seni dan warisan di bawah gagasan Alor Setar Bandaraya Berdayahuni.”
 
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Mural Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diadakan bertempat di Medan Seni, petang semalam. Hadir sama di majlis tersebut ADUN Derga, YB. Muhammad Amri Wahab; Pegawai Kedah Tourism; Koordinator Projek Mural, En Anas Hafiz bin Mustaffa; Ahli-Ahli Majlis MBAS, pengarah-pengarah dan ketua-ketua bahagian MBAS serta wakil-wakil agensi terlibat.
 
Tambah beliau lagi, karya seni itu menyerlahkan semangat kepimpinan, keteguhan dan inspirasi yang dibawa oleh Tun. Mural itu kini memperkukuh Medan Seni sebagai tarikan pelancongan bandar baharu, bukan sahaja untuk pelancong tempatan, malah pelancong luar negara.
 
“ Dengan wujudnya mural ini, ia menjadi sebahagian daripada Jejak Warisan Alor Setar, laluan yang mempamerkan keindahan seni, budaya dan sejarah bandar raya ini. Saya percaya inisiatif sebegini akan terus memperkukuh semangat komuniti seni serta membuka ruang kepada lebih ramai penggiat kreatif untuk berkarya di bandar kita tercinta ini.”
“Saya juga berharap Yang Amat Berbahagia Tun Mahathir dapat singgah ke sini sekiranya beliau pulang ke negeri ini, kita dapat berhimpun beramai-ramai memeriahkan suasana sebagai tanda menghargai jasa tun dalam membangunkan negara dari pelbagai aspek, ujarnya”.
 
TEAM MURAL TUN MAHATHIR@MEDAN SENI, ALOR SETAR
Anas Hafiz bin Mustaffa – Koordinator Projek
1. Amir Azizuddin Qadiri bin Abdul Ghani – Pelukis
2. Mohd Rajis bin Jamaluddin – Pelukis
3. Mohammad Farhan bin Abdul Razak – Pelukis
4. Azmel bin Azizan – Pelukis
5. Ahmad Miqhdad bin Ahmad Shukri – Pembantu
6. Mohamed Faisal bin Saat – Pembantu
 
 
Skip to content