






Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Sesi Soal Jawab dan Dialog Berkenaan Senarai Nilaian Baharu Cukai Taksiran 2025 pada 12 November 2025 bertempat di Dewan Alamanda, Kulim Inn.
Sesi ini diadakan khusus bagi memberi penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan Senarai Nilaian Baharu serta menyediakan ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengemukakan persoalan, mendapatkan maklumat terperinci dan membuat semakan kadar nilaian yang baharu.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, hadir sendiri bagi memberikan penerangan serta menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan oleh para hadirin.
Taklimat berkaitan kadar Nilaian Baharu Cukai Taksiran telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Encik Mohamad Syakir bin Daman Huri. Turut hadir ialah Ahli Majlis, Encik Heh Khian Kiang dan Encik Ch’ng Kok Sheng selaku pemudah cara dalam memastikan maklumat yang tepat dan menyeluruh dapat disampaikan kepada masyarakat.
Sebanyak 19 wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan wakil komuniti Cina hadir sebagai wakil masyarakat setempat bagi menyampaikan pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan kadar baharu tersebut.
MPKK merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak yang hadir.
Penganjuran sesi dialog ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai proses penilaian cukai taksiran serta memperkukuh hubungan antara MPKK dan komuniti dalam usaha memastikan tadbir urus yang telus, efisien dan berkesan.