16 November 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) hari ini menerima kunjungan hormat YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam satu sesi lawatan rasmi ke Kulim Intelligent Command Centre (KICC) bagi meninjau pelaksanaan inisiatif bandar pintar dan sekaligus MPKK telah menyaksikan perasmian Kulim Intelligent Command Centre (KICC) oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara.

Kunjungan YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara ke MPKK kali ini merupakan lawatan rasmi kali kedua, sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting MPKK selaras dengan agenda transformasi bandar pintar negara. Lawatan ini bukan sahaja memacu aspirasi transformasi bandar pintar Kulim, malah turut memperkukuh iltizam MPKK dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik, cekap dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Bersempena dengan Majlis Perasmian KICC ini, dalam rangka kunjungan rasmi Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, bersama barisan pengurusan tertinggi MPKK telah menyambut mesra kehadiran KSN. Turut serta ialah Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Kunjungan ini bertujuan memberikan gambaran menyeluruh mengenai pembangunan ekosistem digital di Kulim yang selaras dengan aspirasi Dasar Bandar Pintar Negara.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada MPKK mempersembahkan kemajuan transformasi digital bandar Kulim, termasuk pembangunan Kulim Integrated Database System (KIDS) dan keupayaan operasi masa nyata KICC, yang kini berfungsi sebagai pusat kawalan pintar.

Taklimat KICC disampaikan oleh Tpr. Mohammad Fadhlan bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap. YBhg. Tan Sri KSN diberi penerangan menyeluruh mengenai transformasi bandar pintar Kulim. MPKK mengetengahkan fungsi KICC yang menghimpunkan lebih 20 modul pintar dalam satu pusat kawalan masa nyata.

Di samping itu, taklimat ini turut menyorot potensi Kulim Industrial Corridor (KIC) sebagai pemacu utama industri berteknologi tinggi di Kulim, didorong oleh penyertaan pelabur antarabangsa seperti EVE Energy, Shangtai dan Cosmx. Demonstrasi turut melibatkan penggunaan CCTV AI bagi pemantauan keselamatan, sistem i-Meeting OSC yang mempercepatkan kelulusan pelan, dan Dashboard Bencana untuk kesiapsiagaan risiko. MPKK juga menerangkan bagaimana integrasi bersama MUO mengukuhkan pengurusan data bandar pintar di peringkat nasional.

Keseluruhan ekosistem digital MPKK dibangunkan bagi menyokong tadbir urus berasaskan data, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memacu perancangan bandar yang lebih berimpak tinggi, selaras dengan matlamat Kulim Bandar Pintar 2035.

MPKK menzahirkan penghargaan dan amat menghargai kesudian YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara meluangkan masa bagi mengadakan kunjungan rasmi di MPKK dan memberi perhatian yang tinggi terhadap pembangunan transformasi digital yang sedang digerakkan oleh MPKK bersama rakan strategik agensi kerajaan yang terlibat.

MPKK komited menjadikan Kulim sebagai model bandar pintar yang memperkukuh integrasi data, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mendokong agenda nasional ke arah perbandaran moden dan berdaya saing.

Klik untuk gambar sekitar program

#MPKK

#ketuasetiausahanegara

#kulim

#KulimSmartCity

#bandarpintar2035

Skip to content